Pejabat Menteri Besar Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini, berhubung kemungkinan berlaku penyelewengan dalam projek sebuah taman tema di Perak.

Laporan dibuat seorang pegawai kanan pejabat itu yang turut diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya di dalam penyiasatan perkara itu.

“Kita melihat betapa projek ini, yang telah diperuntukan sejumlah wang kecil asalnya tetapi telah melonjak begitu tinggi sehingga melebihi 100 peratus daripada peruntukan asal.

“Jadi, selepas kita mengambil alih kerajaan, kita mendapati semakin jelas ada kemungkinan berlaku penyelewengan.

"Maka kerajaan berpandangan, amat sesuai untuk kita menyerahkan perkara ini untuk dijalankan satu siasatan oleh pihak yang berkuasa seperti SPRM,” katanya selepas pegawainya selesai membuat laporan.

Ahmad Faizal berkata, selain siasatan pihak SPRM, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Perak akan meneruskan sesi pendengaran isu berkenaan di samping audit forensik yang dilakukan syarikat audit swasta yang dilantik.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan akan menjalankan siasatan.

BACA: Bekas MB Perak perlu jelaskan peningkatan ketara kos taman tema

Pada Mac, media menyiarkan kenyataan pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB), Chong Zhemin mengenai peningkatan mendadak kos pembangunan dan pembinaan Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Beliau seterusnya mahu bekas menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan itu.