Pejabat pensyarah di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya (UM) mengalami kebakaran pada awal pagi Selasa.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.30 pagi.

“Sejumlah 29 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Seputih dan Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kebakaran dilihat berlaku di ruang pejabat pensyarah tingkat tiga berkeluasan 1,970 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, kemusnahan dianggarkan sebanyak 90 peratus dan api dapat dikawal pada pukul 1.53 pagi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.