Pejalan kaki maut dirempuh kereta ketika lintas lebuh raya

Mangsa dikenal pasti seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang pejalan kaki yang tidak dikenal pasti identiti, maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 9.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata kemalangan pada 11.15 malam itu melibatkan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan dan pejalan kaki itu, seorang lelaki dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun.
"Kemalangan ini berpunca daripada pejalan kaki yang tiba-tiba melintas jalan dan berada di tengah-tengah lorong kedua paling kanan selepas susur Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah dari Klang ke Damansara, sebelum dilanggar kereta yang bergerak terus di laluan tersebut.
"Kemalangan itu mengakibatkan pejalan kaki terbabit maut di tempat kejadian. Punca kematian ialah head injury due to motor vehicle accident," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ramsay berkata usaha mengesan identiti si mati masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman menerusi talian 019-7757354.
Terdahulu, tular satu rakaman video papan pemuka berdurasi 20 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki maut dirempuh sebuah kenderaan di atas jalan raya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


