KOTA BHARU: Seorang pekerja binaan maut selepas dipercayai dihempap bahagian pengorek atau “bucket” jengkaut yang tergelincir ketika menjalankan kerja pemasangan longkang di tapak pembinaan di Jalan Pantai Geting, Pengkalan Kubor, di Tumpat, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 1.40 tengah hari mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 31 tahun.
Advertisement
Beliau berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian lelaki tersebut sedang melakukan kerja pemasangan longkang di kawasan tepi jalan menghala ke Pantai Geting sebelum sebuah jengkaut yang dikendalikan rakan sekerjanya dipercayai tergelincir.
“Bahagian ‘bucket’ jentera tersebut telah menghempap mangsa menyebabkan kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Khairi berkata pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan laporan perubatan mengesahkan punca kematian sebagai “Alleged Constructional Injury With Severe Intraabdominal Injury And Left Lung Contusion”.
Mohd Khairi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA