MALAYSIA
Pelajar 14 tahun tular tumbuk guru mengaku bersalah

Pelajar peralihan Tingkatan Satu itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar berusia 14 tahun yang tular dalam satu video menumbuk gurunya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah, dua hari lalu.
Ringkasan AI
- Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan mencederakan guru lelaki dalam kejadian di sekolah menengah pada 28 Julai lalu; prosiding dijalankan secara tertutup kerana tertuduh adalah pesalah juvana.
- Mahkamah menetapkan 11 September sebagai tarikh hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada JKM; pelajar dibenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin selepas rayuan peguam dan cadangan jaminan RM5,000 oleh pendakwa raya.
- Kes ini menarik perhatian umum selepas video insiden berdurasi 38 saat tular di media sosial; pelajar telah ditahan untuk siasatan dan ibunya memaklumkan anaknya menyesal serta telah memohon maaf atas perbuatannya.
Mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah kira-kira jam 4.48 petang pada 28 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam yang mewakili remaja tersebut, S Priyalatha merayu agar mahkamah membenarkan jaminan rendah memandangkan anak guamnya merupakan pesalah juvana yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin pula mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 memandangkan kes ini tergolong dalam kategori serius dan telah menarik perhatian umum selepas tular di media sosial.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelajar itu diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 38 saat di media sosial memaparkan pertengkaran antara dua individu lelaki yang berakhir dengan seorang pelajar menumbuk pipi seorang guru lelaki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pelajar terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Dalam pada itu, ibu pesalah juvana yang berusia 40-an berkata, dia menjaga remaja berkenaan selepas berpisah dengan bekas suami.
Wanita berkenaan berkata, anak tunggalnya itu mengaku menyesal atas perbuatan yang dilakukan terhadap guru tersebut.
“Dia juga telah memohon maaf pada saya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami