KUALA LUMPUR:Pelajar yang berdepan masalah jalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dibenar menggunakan kemudahan di institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran kediaman masing-masing.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata dengan cara itu, semua pelajar boleh menikmati PdP dengan lebih selesa selain tidak berdepan gangguan capaian internet khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, selain itu, sebanyak 871 pusat internet desa yang dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) juga boleh dimanfaat pelajar.

"Dengan cara itu, pelajar yang masih belum datang ke kampus tidak perlu datang lagi buat masa ini atau mereka juga tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

"Sehubungan itu, mereka boleh teruskan pembelajaran yang akan bermula minggu hadapan," katanya ketika ditemu bual menerusi Buletin AWANI pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamed Mustafa menjelaskan tindakan menangguhkan kemasukan pelajar pada semester kali ini adalah kerana kebimbangan akan penularan wabak COVID-19.

"Kami harap semua pihak dapat bertenang dan keputusan ini diambil kerana KPT sangat prihatin akan keselamatan semua pihak baik pelajar mahupun pihak universiti.

"Selain itu, langkah ini diambil juga bagi membendung penularan jangkitan virus itu dan segala kesulitan yang dihadapi pelajar akan kita bantu untuk ringankan beban mereka," jelasnya.