Seramai 38 penuntut sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kuching yang sedang mengadakan aktiviti perkhemahan terkandas di Sungai Teng Bukap, Jalan Padawan, Sarawak selepas kawasan perkhemahan mereka dinaiki air sungai kira kira jam 8.30 malam tadi.

Bagaimanapun, 21 penuntut yang lain berada dalam keadaan selamat kerana mereka berada di kawasan yang agak tinggi di seberang sungai.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak Farhan Sufyan Borhan dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan daripada polis memaklumkan sekumpulan penuntut IPTA terkandas di seberang sungai dan memerlukan bantuan pihaknya.

Kawasan berkenaan dinaiki air selepas hujan lebat yang turun berterusan sejak malam tadi dan telah menyebabkan paras air sungai meningkat.

"Seramai 59 penuntut menyertai perkhemahan itu bersama dua pengiring. Bagaimanapun, 21 penuntut memang berada di kawasan selamat di seberang sungai itu.

"Arus deras di sungai menyebabkan aktiviti menyelamat agak sukar dilakukan yang mana boleh mengundang bahawa kepada mangsa dan pasukan menyelamat.

"Lebar Sungai Teng Bukap ialah 20 meter dan arus deras sungai boleh membahayakan mangsa dan pasukan penyelamat," katanya.

Menurut Farhan, mangsa boleh dihubungi menggunakan walkie-talkie dan mereka telah dinasihati agar berkumpul di lokasi lebih tinggi untuk sementara waktu.

Sehingga jam 7 pagi tadi, penuntut terbabit masih terperangkap dan keadaan masih terkawal.

Setakat ini operasi membawa turun pelajar-pelajar berkenaan sedang dilakukan secara berperingkat oleh pihak bomba.