Pelajar Malaysia yang memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu diberi subsidi, tidak kira memasuki melalui Unit Pusat Universiti (UPU) atau diambil secara terus oleh pihak universiti.

Naib Presiden Nasional merangkap Ketua Biro Publisiti & Media Baru Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata demikian bagi membantah keputusan Universiti Malaya meletakkan yuran pengajian program sarjana muda kejuruteraan sebanyak RM90,000.

Jelasnya, ia adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak adil kepada pelajar dalam negara.

"Ini adalah sistem oleh Universiti Malaya yang kami tidak sokong. Jika kamu mengambil pelajar secara langsung, ia perlu pada yuran yang sama, bukan RM90,000.

"Universiti boleh membuat pengambilan pelajar sendiri, tetapi bagi pelajar Malaysia, perlu diberi subsidi.

"UM perlu mencari jalan untuk memberi subsidi kepada mereka," kata Dominic selepas satu sidang media khas di sini, hari ini.

Tambahnya, yuran RM90,000 adalah terlalu tinggi berbanding pengajian di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Sebagai sebuah universiti awam, yurannya tidak sepatutnya melebihi pengajian di IPTS," kata Dominic.

Katanya, isu ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa universiti awam dalam proses diswastakan, dan tegasnya, ini adalah tidak benar.

UM adalah institut yang memiliki kuasa autonomi, di mana ia perlu mencari sekurang-kurangnya 50 peratus pendapatan sendiri dan boleh membuat pengambilan pelajar secara terus.

Dominic berkata UM boleh menggunakan cara lain untuk menjana pendapatan termasuk menyediakan kursus jangka pendek, menyediakan perkhidmatan konsultansi dan bekerjasama dengan industri.