KUALA PILAH: Reman terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah 25 September lalu disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata tempoh reman terhadap suspek bermula 2 Oktober hingga 8 Oktober ini dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
"Tempoh reman terhadap suspek selama tujuh hari sebelum ini tamat hari ini dan pihak polis telah membuat permohonan sambung reman di hadapan Majistret bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini seramai 70 individu daripada pelbagai individu termasuk pelajar, guru dan jurulatih telah pun diambil.
Ditanya sama ada masih ada pelajar yang membuat pengakuan menjadi mangsa buli suspek, Alzafny berkata setakat ini hanya lima pelajar yang tampil.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Idlan Fareeq, 14, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, selepas ditemui tidak sedarkan diri di asramanya sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan getah paip oleh dua pelajar senior. -Sinar Harian