JOHOR BAHRU: Seorang pelajar perempuan berjaya menyelamatkan diri dalam cubaan culik selepas dilarikan lelaki menaiki Perodua Kancil di hadapan sekolahnya di  Taman Molek, Johor Jaya di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa yang berusia 13 tahun dihampiri suspek tidak dikenali selepas turun dari van sekolah.

Katanya lelaki tempatan itu dipercayai menghampiri pelajar berkenaan dengan menaiki kereta sebelum berpura-pura meminta bantuan mangsa menghantar satu borang ke sekolah.

"Mangsa diminta untuk masuk ke dalam kereta suspek namun dia enggan. Suspek kemudian menarik mangsa masuk ke dalam kereta itu.

"Mangsa kemudian dibawa lari. Bagaimanapun, dia berjaya melepaskan diri selepas kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian meminta bantuan orang awam.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek," katanya.