NATIONAL
Pelajar tahfiz cemerlang diberi biasiswa lanjut pelajaran di UniKL, UPTM - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2024/2025 di Ayer Keroh, hari ini. - Foto Bernama
MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pelajar tahfiz cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima tajaan biasiswa jika melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).
Ringkasan AI
- Tajaan Biasiswa untuk Pelajar Tahfiz: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pelajar tahfiz cemerlang dalam SPM akan menerima tajaan biasiswa penuh jika melanjutkan pelajaran di UniKL dan UPTM.
- Perbincangan dengan MARA: Ahmad Zahid akan berbincang dengan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, untuk merealisasikan hasrat ini agar pelajar tahfiz bukan sahaja menjadi huffaz tetapi juga ahli profesional selepas tamat pengajian.
- Sambutan Hari TVET Negara 2025: TVET 2025 di Melaka bakal mengetengahkan elemen baharu seperti kenderaan elektrik (EV), teknologi maklumat (IT), dan e-Sukan untuk memberi lebih banyak peluang pendidikan dan pekerjaan kepada peserta.
"Selain mereka menjadi huffaz atau penghafal al-Quran, mereka juga akan menjadi ahli profesional (selepas tamat belajar)," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka merangkap Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Prof Datuk Dr Mizan Hitam.

Ahmad Zahid (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Ulul Albab 2024 kepada Muhammad Ridhwan Faizulazmey (dua, kiri) pada majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2024/2025 di Ayer Keroh, hari ini. - Foto Bernama
Sebanyak 82 pelajar menyelesaikan hafazan 30 juzuk al-Quran sepanjang 2024 manakala 46 pelajar mendapat sijil penghargaan SPM 2024 pada majlis berkenaan.
Mengulas mengenai sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 11 hingga 13 Jun ini, Ahmad Zahid berkata ia akan membawa kelainan dengan beberapa elemen baharu.
Beliau berkata elemen-elemen berkenaan antaranya termasuklah kenderaan elektrik (EV), teknologi maklumat (IT) dan e-Sukan.
"Kita akan membuka seluas-luasnya kepada bakal peserta atau pelajar yang memasuki TVET ini untuk melihat pameran, peluang-peluang yang akan mereka peroleh apabila berdaftar di institusi TVET di seluruh negara ini.
"Selain itu, mereka juga dapat meneliti peluang pekerjaan dan juga tangga gaji yang akan dinikmati apabila keluar daripada institusi TVET ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami