Malang tidak berbau apabila sepasang suami isteri yang menjual nasi lemak dan seorang pelajar tahun dua cedera di bahagian muka dan badan akibat disimbah asid.

Kejadian itu berlaku apabila pelajar daripada Sekolah Rendah Islah, Pendang, singgah ke gerai berkenaan untuk membeli nasi lemak daripada pasangan suami isteri itu.

Ketika kejadian, pasangan suami isteri Shamsudin Samad, 58, dan Fatimah Shafie, 48, sedang membungkus nasi lemak manakala pelajar tahun dua itu, Abdul Hakim Wafi Abdul Razak sedang menunggu nasi lemak yang hendak dibelinya.

Ketika itu, ibu pelajar terbabit, Nazriah Abdul Rahman sedang menunggu di dalam kereta dan tidak lama kemudian muncul dua lelaki menunggang motosikal berhenti di hadapan gerai lalu seorang daripadanya bertindak mencurahkan sesuatu ke arah pasangan yang menjual nasi lemak berkenaan.

Sejurus kemudian, terdengar anaknya meraung kesakitan serta menjerit meminta tolong.


Sementara itu, menurut beberapa orang saksi yang melalui tempat kejadian, mereka terdengar bunyi jeritan namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ia cuma kemalangan kecil sahaja.




Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superitendan Abdul Aziz Ahmad berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selepas mangsa dikatakan melecur hampir 60 peratus.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.