KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan untuk melaksanakan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, berkata ini adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.

Dalam satu entri di laman Facebooknya, beliau berkata, cuti persekolahan akan bermula lebih awal daripada dijadualkan.

"Seperti yang kita sedia maklum, cuti untuk Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada hari Selasa, 11 Mei. KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah bagi Kumpulan A akan mengambil cuti peristiwa atau cuti ganti pada 9 dan 10 Mei, manakala sekolah dalam Kumpulan B akan mengambil cuti tersebut pada 10 Mei.

"Oleh yang demikian, sekolah Kumpulan A akan bercuti mulai 7 Mei hingga 15 Mei manakala sekolah Kumpulan B pada 8 Mei hingga 16 Mei," katanya.

 
Sumber Facebook DrRadziJidin

Dalam satu gambar yang dikongsikan di akaun Facebook itu, ia turut menunjukkan cuti penggal akan bermula pada 28 Mei hingga 12 Jun bagi Kumpulan A dan Kumpulan B (29 Mei hingga 13 Jun).

Ini bermakna, pelajar tidak akan masuk ke kelas bermula pada cuti Aidilfitri dan berlanjutan sehingga tamat cuti penggal iaitu pada 12 Jun bagi Kumpulan A dan Kumpulan B (13 Jun)
COVID-19 | KPM laksana PdPR selepas raya