Skip to main content

Malaysia

Pelajar tingkatan lima maut digilis lori

Langgar pelajar sekolah tingkatan 5, Sekolah Tiara Permai (meninggal dunia).
Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang membelok ke kiri ke laluan sama sebelum berlaku pergeselan di antara motosikal dan lori berkenaan. - Gambar FB Malaysia Viral Story
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima maut digilis selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan 1/18A, Taman Mastiara, di sini, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dan sebuah lori jenis Hino yang dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang membelok ke kiri ke laluan sama sebelum berlaku pergeselan di antara motosikal dan lori berkenaan.

"Akibat pergeselan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Zamzuri, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, sampel air kencing pemandu lori turut diambil untuk ujian saringan dan keputusan ujian saringan pernafasan (EBA) didapati negatif.

Polis kini mengesan saksi kejadian dan meminta orang awam yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Alif Md Noordin dari Balai Polis Trafik Kuala Lumpur menerusi talian 019-2444262 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera bagi membantu siasatan.

 

Must Watch Video

Advertisement