Skip to main content

Malaysia

Pelakon veteran Cik Man meninggal dunia

Pelakon veteran Kamarozaman Yusoff atau Cik Man meninggal dunia di ICU Hospital Tanah Merah akibat saluran jantung tersumbat. Allahyarham sempat mengadu sakit perut dan belakang sebelum ditidurkan, dan akan dikebumikan esok sekitar jam 11 pagi.
Pelakon veteran Kamarozaman Yusoff atau Cik Man meninggal dunia di ICU Hospital Tanah Merah akibat saluran jantung tersumbat.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Kamarozaman Yusoff, 68, atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Man meninggal dunia selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah, Kelantan petang ini.

Allahyarham yang terkenal menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja sebelum ini dilaporkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.

Pemergian Kamarol disahkan oleh anak lelaki kedua aktor tersebut, Fakhrol Aliff.

“Saya baru balik dari rumah tadi, rasanya dalam pukul 5 petang.

"Saya balik mandi lepas jaga abah tadi selepas itu kakak telefon kata datang hospital sebab abah dah tak ada," katanya kepada media.

Kongsinya lagi, pelakon filem Rock Oo itu sempat mengadu sakit perut beberapa hari sebelum ditidurkan semalam.

"Abah sebelum ini tak sakit teruk pun, kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas.

"Selepas daripada itu, periksa jantung semua tak ada tapi dia selalu macam gastrik. Dia teruk semalam.

"Dia ada mengadu sakit tapi gastrik, sakit perut dan sakit belakang. Macam angin begitulah.

"Jadi, bila nak ajak pergi hospital dia tak nak. Semalam, dia dah tak tahan sangat dah," katanya lagi.

Fakrol juga  memaklumkan bapanya akan dikebumikan pada esok sekitar 11 pagi.

Terdahulu pelawak Amir Raja Lawak menerusi hantaran di akaun Facebook sempat memaklumkan kesihatan Allahyarham berada dalam keadaan kritikal.

"Assalamualaikum. Dimaklumkan, Cik Man dimasukkan ke Hospital Tanah Merah tengah malam semalam.

"Keadaan dia kini kritikal kerana saluran jantung tersumbat dan kini ditidurkan untuk dia rehat serta doktor lakukan rawatan," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak. - Gempak

Must Watch Video

Advertisement