Skip to main content

Malaysia

Pelaksanaan AKF selari dengan keperluan pasaran buruh - KESUMA

51613208423_WFH.jpg
KESUMA memaklumkan bahawa pelaksanaan AKF yang merangkumi model kerja hibrid, waktu kerja anjal dan susunan kerja fleksibel, berupaya memperkukuh kecekapan operasi organisasi di samping meningkatkan kesejahteraan pekerja. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF), selari dengan keperluan pasaran buruh yang semakin dinamik dan memerlukan model kerja yang lebih adaptif, responsif dan berteraskan produktiviti, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pelaksanaan AKF yang merangkumi model kerja hibrid, waktu kerja anjal dan susunan kerja fleksibel, berupaya memperkukuh kecekapan operasi organisasi di samping meningkatkan kesejahteraan pekerja.

Advertisement

“KESUMA menegaskan pelaksanaan AKF oleh sektor swasta perlu dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berasaskan garis panduan yang jelas, selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 (Seksyen 60P dan 60Q) serta peruntukan yang setara di bawah Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.

“Ia antara lain memberi hak kepada pekerja untuk memohon pengaturan kerja fleksibel dan mewajibkan majikan memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut kenyataan KESUMA.

KESUMA dalam kenyataan itu menyambut baik saranan diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, agar sektor swasta mempertimbangkan AKF sebagai langkah strategik untuk mendepani cabaran ekonomi semasa, termasuk kesan krisis bekalan global.

Menurut kenyataan kementerian itu, hasil dapatan terkini TalentCorp melalui inisiatif AKF sejak 2021 sehingga kini menunjukkan lebih 5,340 organisasi telah melaksanakan AKF, memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta pekerja.

Sebanyak 62 peratus majikan melaporkan peningkatan produktiviti apabila AKF dilaksanakan secara berstruktur manakala 70 peratus pekerja mencatatkan peningkatan kepuasan kerja hasil fleksibiliti masa dan lokasi.

“Lebih 90 peratus organisasi melaporkan peningkatan penglibatan pekerja serta penurunan kadar keluar masuk (turnover) pekerja antara 15 hingga 20 peratus.

“Dapatan ini membuktikan bahawa pelaksanaan AKF bukan sahaja menyokong kesinambungan operasi organisasi malah berupaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh keseimbangan kehidupan bekerja dan menyumbang kepada pengekalan bakat dalam pasaran buruh negara,” kata KESUMA.

KESUMA turut menegaskan bahawa pelaksanaan AKF tidak boleh dijadikan alasan untuk sebarang pengurangan gaji atau faedah pekerja, kecuali terdapat persetujuan baharu yang melibatkan perubahan keseluruhan waktu kerja.

Menurut kenyataan itu jaminan tersebut penting bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dilindungi dan memberi keyakinan kepada tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan pengaturan kerja lebih fleksibel.

Selain itu KESUMA turut menggalakkan majikan, khususnya sektor swasta untuk memperkukuh kesiapsiagaan digital pekerja bagi menyokong pelaksanaan AKF secara berkesan dalam persekitaran fleksibel, mengikut kesesuaian operasi masing-masing.

-- BERNAMA

Must Watch Video