KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 tidak akan memberi tekanan melampau kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain tidak dijangka menyebabkan peningkatan mendadak harga barang atau pemberhentian pekerja.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Menurut beliau, bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar, kerajaan memberi pengecualian sementara kepada PMKS yang mencatat hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta.
“PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta akan dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka untuk penyesuaian modal perniagaan." katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Aminolhuda Hassan, mengenai apakah mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 tidak menyebabkan pengurangan pekerja, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil, dan adakah Kerajaan bercadang menyediakan insentif peralihan kepada majikan yang terkesan.
Akmal berkata, langkah ini penting supaya majikan dapat menyusun semula kewangan mereka dan memastikan operasi perniagaan berjalan tanpa perlu mengambil langkah drastik termasuk pemberhentian pekerja.