Skip to main content

Malaysia

Pelaksanaan LPT3, isu vape antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

81760573686_parlimenmalaysia.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) secara kerjasama awam-swasta (PPP) dan langkah membanteras sindiket pengedaran rokok elektronik atau vape berbahaya yang menyasarkan pelajar sekolah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, pada sesi soal jawab, Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan kriteria utama pertimbangan kerajaan dalam cadangan pelaksanaan LPT3 secara PPP, termasuk implikasinya terhadap kadar tol serta garis masa pelaksanaan.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pula meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan langkah penguatkuasaan tegas dan drastik yang dirancang bagi membanteras sindiket pengedaran vape berbahaya yang menyasarkan golongan muda dan pelajar sekolah.

Turut menarik perhatian ialah soalan P. Prabakaran (PH-Batu) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai langkah kerajaan untuk mengatasi kesesakan berterusan di pintu masuk negara selain mempercepat proses pemeriksaan imigresen.

Pada sesi sama, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) meminta Menteri Kesihatan menyatakan keberkesanan inisiatif digitalisasi sistem kesihatan awam seperti MySejahtera dan rekod kesihatan elektronik dalam membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

Sidang Dewan Rakyat kemudiannya akan diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi Tahun 2024 oleh menteri-menteri berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 16 hari hingga 16 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement