KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang adalah petanda baik bagi sektor pembinaan memandangkan penawaran pekerjaan dijangka kekal kukuh daripada sektor swasta dan awam, menurut penyelidikan oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan 'positif' bagi sektor pembinaan dengan projek itu dijangka memperkukuh kualiti pendapatan peserta pembinaan bagi beberapa tahun akan datang.

Projek kereta api mega itu akan dibahagikan kepada tiga kontrak iaitu pembinaan awam bagi jajaran Pulau Silikon hingga Komtar (segmen satu), pembinaan awam jajaran Komtar ke Penang Sentral (segmen dua) serta sistem siap guna dan gerabak.

Kerajaan menawarkan pembinaan awam bagi kerja-kerja jajaran Pulau Silikon ke Komtar (segmen satu) menerusi permintaan untuk cadangan (RFP) sumber tunggal kepada SRS Consortium Sdn Bhd, anak syarikat 60 peratus milik Gamuda Bhd.

SRS Consortium mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk memuktamadkan nilai dan butiran maklumat kontrak dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) milik Kementerian Kewangan.

"Selain Gamuda, kami menjangkakan peserta lain juga meraih manfaat daripada pakej segmen dua yang besar dan kontraktor mungkin diberikan pekerjaan peringkat kedua.

"Pengeluar simen seperti Malayan Cement Bhd dan kalangan pembuat keluli juga merupakan antara yang akan menerima manfaat," jelasnya dalam nota penyelidikan semalam.

Kontrak kedua dan ketiga akan dibuka untuk tender.

Sementara itu, penyelidikan oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpandangan Gamuda kemungkinan masih boleh mengambil bahagian dalam segmen dua serta tender terbuka bagi sistem siap guna dan gerabak.

"Kami menganggarkan kerja-kerja awam segmen satu mungkin mencatatkan nilai kontrak RM10 bilion yang membawa nilai efektif kepada Gamuda sebanyak RM6 bilion.

"Ini boleh menjadikan nilai perolehan kontrak dalam tangan pembinaan yang belum dibilkan kepada jumlah yang besar sebanyak RM30.1 bilion apabila diberikan. Berdasarkan andaian yang surat perjanjian itu akan ditandatangani pada Julai 2024, Gamuda mungkin menamatkan tahun kewangan 2024 dengan perolehan kontrak RM15.7 bilion," menurutnya.

Justeru, penyelidikan HLIB mengekalkan saranan 'beli' ke atas Gamuda dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM6.11 selepas pelarasan untuk permulaan projek yang lebih awal daripada jangkaan.

Menurut penyelidikan HLIB pesaing yang berpotensi kukuh bagi segmen dua ialah Sunway Construction Group Bhd (beli; TP: RM3.20), IJM Corporation Bhd (beli; TP: RM2.38) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (beli; TP: RM0.70).

Selain itu, bank pelaburan itu turut berpendapat TRC Synergy Bhd, Gadang Holdings Bhd, Kimlun Corporation Bhd, Gabungan AQRS Bhd, Econpile Holdings Bhd, Aneka Jaringan Holdings Bhd dan Eita Resources Bhd juga boleh membida subkontrak untuk segmen satu dan segmen dua.

-- BERNAMA