KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya negara tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya berasaskan model rundingan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) membabitkan semua syarikat konsesi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan peralihan kepada sistem tol tanpa palang berkenaan berjalan lancar tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengguna lebuh raya.
Jelas beliau, kerajaan telah memberikan tempoh dan garis masa kepada pihak industri melalui Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) untuk berunding dengan pihak berkepentingan serta pelabur berkaitan.
"Syarikat konsesi adalah pemilik aset lebuh raya berkenaan. Justeru, kita membenarkan mereka berbincang menerusi model B2B untuk memuktamadkan pelaksanaan dan sistem terbaik sebelum ia diumumkan kepada umum kelak.
"Matlamat utama kita adalah menyediakan sistem seperti di negara maju yang memastikan perjalanan pengguna sentiasa lancar, selamat dan selesa tanpa bebanan masalah teknikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik ASEAN (MY ARTE 2026) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada Rabu.
Mengulas mengenai pengujian sistem pembayaran terbuka JustGO di Lebuhraya PLUS ketika ini, Alexander menyifatkan inisiatif itu sebagai projek perintis atau pembuka tirai kepada pelaksanaan sistem tol pintar masa hadapan.
Menurut beliau, penilaian menyeluruh sedang dijalankan terhadap platform berkenaan dan sistem lain yang berpotensi sebelum mana-mana teknologi diguna pakai secara meluas merentasi semua lebuh raya bertol.
"JustGO telah diuji di PLUS sejak beberapa bulan lalu bersama pelbagai pihak terlibat. Selepas ini, penilaian akan dibuat sama ada platform tersebut atau platform lain yang bersesuaian boleh diselaraskan untuk kegunaan bersama," tambah beliau.