KUALA LUMPUR: Pengusaha bengkel kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna bagi membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas.

Beliau berkata langkah mempamer senarai nama mekanik dan sijil kemahiran itu juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.

"Selain itu, kriteria lain ialah pengusaha perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula. Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka," kata beliau dalam kenyataan, Ahad malam.

Salahuddin berkata pindaan peraturan juga mengkehendaki pengusaha menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.

Menurut Salahuddin pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.

Bagaimanapun penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

"Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.

"Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599)," katanya.

-- BERNAMA