MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka melanjutkan tempoh penutupan jalan bersempena dengan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, kepada tiga hari bermula hari ini, berbanding setiap Sabtu sebelum ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata jalan yang terlibat akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

"Ini ialah proses yang sama seperti tempoh percubaan yang kita lakukan sebelum ini untuk melihat respons daripada semua pihak termasuk peniaga dan pengunjung bagi tujuan penambahbaikan dan ia masih dalam kajian.

"Insya-Allah semua maklum balas, bantahan atau keluh-kesah daripada peniaga khususnya akan kita lihat dan ambil perhatian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Sempena Sambutan Hari MPHTJ Ke-14 di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron serta 40 agensi, syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk media yang diraikan.

Rais berkata beliau yakin semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan sedaya upaya memastikan lanjutan penutupan jalan ini memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya tekankan sekali lagi bahawa usaha ini bukan untuk menzalimi mana-mana pihak, tetapi ia hanya untuk manfaat masyarakat bagi jangka masa panjang.

"Langkah ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan bandar Melaka sebagai bandar rendah karbon," katanya.

Terdahulu, MBMB memaklumkan pelaksanaan pelanjutan masa tempoh percubaan di Zon Bebas Kenderaan melalui laman Facebook rasminya.

Pelaksanaan penutupan dan perubahan jalan itu bermula dari Persimpangan Jalan Laksamana dengan Jalan Banda Kaba (di antara Bangunan Public Bank Banda Hilir dengan Bangunan Madonna) melalui Jalan Banda Kaba, Lorong Chan Koon Cheng dan Jalan Chan Koon Cheng sehingga Hotel Equatorial.

-- BERNAMA