KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan 25 tahun di seluruh negeri sebagai panduan hala tuju pengurusan sumber hutan jangka panjang di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pelan itu selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 bukan hanya memberi tumpuan kepada hutan simpan tetapi juga kawasan hutan dalam tanah kerajaan dan tanah bermilik.

Ketua Menteri berkata Jabatan Perhutanan Negeri telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melindungi hutan Sabah sejak 1997, konsep Pengurusan Hutan Lestari (SFM) telah dilaksanakan sepenuhnya di Sabah.

"Usaha berterusan dalam mewujudkan keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan pemuliharaan alam sekitar melalui rasionalisasi guna tanah perlu terus dilaksanakan sebagai alternatif penjanaan pendapatan baharu dan mampan bagi Sabah.

"Ini termasuk meneroka pelbagai inisiatif yang boleh menyokong program pemuliharaan hutan melalui penjanaan pendapatan bukan berasaskan kayu (Forest Beyond Timber)," katanya pada persidangan antarabangsa Heart of Borneo (HoB) : An Ecosystem That Provides, di sini hari ini.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

Hajiji berkata kerajaan Sabah komited terhadap pemuliharaan sumber aslinya melalui kawasan perlindungan selaras dengan objektif pengisytiharan Inisiatif HoB pada 2007 dan sejak itu kerajaan Sabah melalui Jabatan Perhutanan Sabah, telah mencapai banyak kemajuan dalam pemuliharaan.

"Lebih 27 peratus daripada keluasan tanah negeri atau kira-kira 2 juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan 75 peratus daripada TPA terletak dalam sempadan Heart of Borneo Sabah," katanya.

Ketua Menteri berkata selaras dengan pelan hala tuju pembangunan kerajaan Sabah, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan Sabah juga komited untuk memperluas saiz TPA kepada 30 peratus keluasan tanah Sabah menjelang 2025.

Beliau berkata kerajaan negeri juga komited untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk meningkatkan tindakan iklim dan akan terus menggalakkan hubungan kukuh antara perubahan iklim dan pembangunan mampan, di samping mengarusperdanakan tindakan berkaitan perubahan iklim ke dalam agenda pembangunan Sabah.

"Sabah juga komited untuk melaksanakan tindakan mitigasi yang diperlukan serta tindakan penyesuaian, merentasi semua sektor untuk menyokong Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang telah ditetapkan Malaysia di bawah Perjanjian Paris menjelang 2030," katanya.

Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim atas sokongan padu terhadap Inisiatif HoB.

Beliau berkata sejak 2009, kira-kira RM48 juta telah diagihkan kepada Sabah untuk pelaksanaan Inisiatif HoB dan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan Persekutuan telah menjanjikan RM13 juta lagi untuk inisiatif itu.

-- BERNAMA