JOHOR BAHRU: Satu pelan induk pengurusan dan penyuraian trafik yang komprehensif di Johor Bahru perlu dirangka bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di bandar raya ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz dalam hantaran menerusi Facebook berkata pada pertemuan beliau dan delegasi kerajaan negeri bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, mereka membincangkan beberapa isu dan cadangan penyelesaian jangka pendek, sederhana serta panjang bagi mengatasi kesesakan trafik.

Beliau berkata kerajaan Johor dan Persekutuan bersetuju bahawa satu pelan induk pengurusan dan penyuraian trafik di Johor Bahru perlu diwujudkan melalui pasukan khas yang bakal diwujudkan.

"Antara cadangan ialah mewujudkan satu ‘taskforce’ antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membincangkan pelan penyuraian trafik selain meningkatkan kekerapan jumlah bas dan laluan perkhidmatan MyBAS, penggunaan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad sedia ada bagi mewujudkan perkhidmatan komuter serta mengkaji integrasi Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru. 

"Selain itu, perlu diwujudkan sistem Aliran Transit Automasi (ART) atau membina jajaran pengangkutan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), mewujudkan khidmat bas pengantara atau 'feeder bus' bagi memudahkan pengguna ke stesen dan melebarkan jalan-jalan utama di Johor Bahru," katanya dalam hantaran berkenaan semalam.

Menurut Onn Hafiz hal berkenaan perlu dititikberatkan dan perlu dilaksanakan dalam jangka masa terdekat kerana apabila dua projek utama iaitu Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru siap dan beroperasi, isu penyuraian trafik dapat ditangani.

Beliau berkata kerajaan negeri yakin bahawa kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan itu secara tidak langsung dapat memastikan projek pengangkutan berimpak tinggi bukan saja dilaksanakan dengan pengoperasian yang lebih efisien pada tahap maksimum, malah memudahkan urusan seharian rakyat.

"Semoga segala usaha yang bakal dilaksanakan bermanfaat kepada Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Insya-Allah" katanya.


-- BERNAMA