KUALA LUMPUR: Tiga skop utama yang perlu difokuskan dalam merangka Pelan Pemulihan Negara keluar daripada pandemik COVID-19 adalah perkhidmatan kesihatan awam, ekonomi dan sosial, terutama pendidikan.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman, sektor perkhidmatan kesihatan awam negara ini perlu dipulihkan dengan segera.

Ia bukan saja untuk merawat pesakit COVID-19, tetapi juga rawatan untuk penyakit-penyakit lain yang terhenti, katanya.

"Ketiga-tiga entiti ini sebenarnya menyumbang bukan sahaja kepada tahap kesihatan seseorang tetapi juga keadaan status mental, sosial dan sebagainya.

"Dari segi kesihatan, kita mohon supaya sistem perkhidmatan kesihatan dapat dipulihkan.

"Maksudnya, bukan sahaja dapat merawat mereka yang dijangkiti COVID-19, tetapi sistem sekarang ini yang terhenti, yang mana semua pembedahan secara elektif tidak dapat dilaksanakan, (supaya) banyak kes-kes yang tidak dirawat dapat dipulihkan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Awani Pagi hari ini.


Malina juga menyeru agar mereka yang berada dalam sektor ekonomi divaksin segera bagi menggerakkan ekonomi negara dengan baik.

“Memang kita cadangkan supaya sektor ekonomi dibuka secepat mungkin. Sebab itu kita galakkan mereka yang dalam sektor ekonomi dan industri divaksin segera.

"Bukan mereka sahaja, tetapi dilanjutkan kepada keluarga mereka sekali, kerana kita dapati kluster di tempat kerja juga adalah punca perebakan kepada kluster dalam komuniti," katanya.