KUALA LUMPUR: Tarikh pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023 yang diawalkan pada Sabtu ini, bertujuan memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk membuat persiapan rapi sambutan.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia Datuk E. Sivabalan berkata ini kerana program berkenaan melibatkan banyak pihak termasuk syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan kolaborasi bersama persatuan-persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan.

"Tarikh pelancaran telah diawalkan berbanding tahun 2022 dengan hasrat agar persiapan di setiap negeri-negeri yang lain di Malaysia dapat dirancang dan dilaksanakan lebih awal," katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia, siaran TV1 RTM pada Selasa.

Beliau berkata pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023 akan diadakan serentak Sabtu ini pada pukul 11.20 pagi di pusat beli-belah 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah; Mydin Petrajaya di Kuching, Sarawak; dan Esplanade, Taman KLCC di sini.

Katanya, Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Fahmi Fadzil akan merasmikan pelancaran di Kuala Lumpur.

Di Sarawak, ia akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Menteri yang Bertanggungjawab Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023, Peringkat Negeri Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, manakala di Sabah oleh Menteri Kewangan negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, katanya.

Sivabalan berkata pelancaran logo dan tema itu akan disiarkan secara langsung di TV1 dan beliau turut mengajak orang ramai memeriahkan majlis dengan menyertai 'flashmob' atau persembahan kilat berkumpulan bagi lagu Malaysia MADANI.

-- BERNAMA