KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Nabawan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 17 Mac sehingga 30 Mac 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini PKP di lokaliti itu dijadualkan tamat pada 16 Mac 2021.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 3,079 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 279 kes telah direkodkan.

"Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Ismail turut mengumumkan  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Tioman, Rompin, Pahang bermula 16 Mac hingga 29 Mac 2021.

"Sehingga 14 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif telah direkodkan.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," tegasnya.

Sementara itu katanya, 458 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 438 individu dikenakan kompaun, tujuh direman dan 13 lagi dijamin.

"Antara kesalahan yang direkodkan ialah aktivit pusat hiburan (260), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (90), gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (40), tiada penjarakan fizikal (39), tidak memakai pelitup muka (26) dan premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (3)," katanya.

Katanya lagi, Operasi Benteng pada Ahad telah menangkap lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 116 buah bot atau kapal di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Ismail turut memberitahu, sebanyak 69 operasi sanitasi dilakukan meliputi 23 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.

Operasi sanitasi itu melibatkan 348 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 200 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), lain-lain agensi (5) serta 49 buah jentera JBPM.

Ujarnya lagi, seramai 808 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Ahad dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Sementara, seramai 2,506 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, dua orang didapati positif COVID-19.