Pelantikan ejen pemungut tidak libat komisen daripada JPJ - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan tuduhan kononnya pelantikan ejen pemungut baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan komisen atau mengaut keuntungan daripada jabatan berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan tuduhan kononnya pelantikan ejen pemungut baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan komisen atau mengaut keuntungan daripada jabatan berkenaan.
Ringkasan AI
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan syarikat ejen pemungut JPJ mengambil komisen atau keuntungan daripada pelantikan mereka, sebaliknya syarikat berasaskan teknologi perlu kembalikan 100 peratus nilai yang dikutip kepada kerajaan.
- Loke menyatakan 10 ejen pemungut dilantik sejak 2016 tanpa sebarang komisen dibayar oleh JPJ, menegaskan tuduhan pembangkang mengenai ejen pemungut mendapat komisen adalah palsu.
- Rider Gate Sdn Bhd, anak syarikat Ramssol Group Bhd, dilantik oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan JPJ, membolehkan rakyat Malaysia mengakses platform digital untuk transaksi penting JPJ dengan caj nominal setiap transaksi.
"Syarikat seperti ini mahukan status ejen pemungut agar semua transaksi boleh diselaraskan berbanding berurusan dengan JPJ sebanyak tiga kali. Mereka bukan sahaja tak dapat komisen, malah sesetengah transaksi seperti tukar hak milik, mereka kena bayar JPJ.
"Kalau sekadar transaksi sekali beri, aplikasi MyJPJ sudah tentu lebih mudah (kepada orang ramai). Dengan perkembangan pendigitalan, akan ada lagi platform dalam talian yang memohon status ejen pemungut dan Kementerian Pengangkutan akan memudah cara," katanya menerusi entri video di Facebook.
Loke berkata sebanyak 10 ejen pemungut telah dilantik sejak 2016, namun JPJ tidak pernah membayar apa-apa komisen.
"Pembangkang menguar-uarkan ejen pemungut kini akan mendapat komisen daripada setiap transaksi JPJ. Memang sangat menguntungkan kalau mendengar naratif pembangkang tetapi kisah sebenarnya tidak.
"Yang menarik, Kerajaan Perikatan Nasional pun pernah melantik ejen pemungut pada 29 April 2022 tetapi tidak pula digambarkan sebagai mengaut keuntungan atau menggadaikan JPJ kerana mereka tahu apa mereka sedang sebarkan itu adalah palsu," katanya.
Semalam, Ramssol Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Rider Gate Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat itu dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.
Syarikat itu memaklumkan melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat Malaysia kini boleh mengakses platform perkhidmatan yang digital sepenuhnya, mudah dan selamat untuk transaksi penting JPJ termasuk pembaharuan LKM, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


