KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Perwakilan (Dewan Rakyat) Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi yang tiba di Malaysia hari ini berkata beliau dan delegasi kongres berbesar hati dengan sambutan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pelosi dalam satu kenyataan kepada Bernama menerusi Kedutaan AS di sini, selepas pertemuan dengan Ismail Sabri berkata kedua-dua pihak turut terlibat dalam perbincangan mengenai memajukan matlamat bersama bagi mewujudkan Indo-Pasifik yang bebas dan selamat.

"Pertemuan dengan perdana menteri itu menyusul selepas mesyuarat ahli parlimen dan kongres yang dipengerusikan Speaker Parlimen Tan Sri Azhar Harun. Perbincangan itu termasuk mengenai cabaran keselamatan, peluang ekonomi dan keutamaan tadbir urus.

"Dalam setiap pertemuan kami, kami menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas undi yang diberikan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pencerobohan Rusia dan kepimpinannya di ASEAN untuk menolak Burma kerana kekerasan yang dilakukan.

"Perbincangan mengenai tadbir urus kami tertumpu pada integriti dalam kerajaan, menangani krisis iklim dan memerangi COVID," tambahnya.

BACA: Ismail Sabri, Pelosi nyata penghargaan hubungan dua hala Malaysia-AS, mahu pererat kerjasama

BACA: Pesawat bawa Pelosi tinggalkan Kuala Lumpur, mungkinkah Taiwan destinasi seterusnya? - Laporan

Cerita Sebalik Berita: Lawatan rasmi Nancy Pelosi ke Malaysia

Pelosi berkata kedua-dua negara sepakat untuk terus bekerjasama dari segi kepentingan keselamatan bersama, ekonomi, perdagangan, pemerdagangan orang dan isu iklim.

Beliau dan delegasi kongres tiba di Malaysia pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Kuala Lumpur adalah persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun. Lawatan beliau menjadi tumpuan banyak pihak yang menantikan sama ada Taiwan turut berada dalam jadual lawatannya.

Kementerian Luar China sebelum ini menyatakan jika Pelosi melawat Taiwan, Beijing akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya, dan AS perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas semua kesan yang timbul daripada lawatan itu.

-- BERNAMA