Peluncuran EV pertama Perodua diangkat sebagai agenda nasional - PM Anwar

Anwar berucap ketika Sesi Lawatan Ramah Mesra bersama Warga Kerja Perodua di Perodua Sungai Choh, di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
RAWANG: Peluncuran kereta elektrik (EV) pertama keluaran Perodua akan dijadikan sebagai satu agenda nasional penting, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.
Ringkasan AI
- Peluncuran kereta elektrik (EV) pertama Perodua akan dijadikan sebagai agenda nasional penting, selaras dengan usaha kerajaan menguatkan tadbir urus, tanggungjawab sosial, dan perlindungan alam sekitar.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menetapkan tarikh pelancaran dalam masa satu hingga dua hari lagi, dengan cadangan program di akhir bulan ini sebagai langkah penting dalam konsep Malaysia MADANI.
- Anwar akan bertindak sebagai pegawai pemasaran utama Perodua dalam lawatan rasmi ke Afrika Selatan, Kenya, dan Ethiopia tanpa bayaran, sebagai usaha memperkenalkan produk automotif negara ke pasaran antarabangsa.
"Ia bukan sekadar peluncuran produk, tetapi menggabungkan soal governance, social responsibility dan environmental protection (tadbir urus, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar)," katanya.
Anwar berkata demikian ketika Sesi Lawatan Ramah Mesra bersama Warga Kerja Perodua di Perodua Sungai Choh, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, langkah itu memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara, selain memenuhi konsep Malaysia MADANI yang menjadi teras pentadbiran beliau.
“Saya sangat terkesan kerana peluncuran ini membawa faedah kepada rakyat dan negara, dan pada masa sama ia memenuhi konsep MADANI.
“Dalam masa singkat, mungkin dua minggu lebih, saya akan hadir semula untuk menjadikan peluncuran Perodua kali ini sebagai program nasional penting. Saya beri jaminan untuk sekarang,” katanya lagi.
Sementara itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek EV nasional tersebut, yang disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam transformasi industri automotif negara.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa beliau akan bertindak sebagai ‘pegawai pemasaran’ Perodua dalam lawatan rasmi beliau ke Afrika Selatan, Kenya dan Habsyah (Ethiopia), sebagai usaha memperkenalkan produk automotif nasional ke pasaran antarabangsa.
Beliau menegaskan peranan itu akan dijalankan secara pro bono tanpa sebarang bayaran.
“Saya dah bagi jaminan saya akan jadi pegawai pemasaran yang utama Perodua dalam lawatan ke Afrika Selatan, Kenya dan Ethiopia, pro bono tak ada bayaran,” akhirinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


