ALOR GAJAH: Pemaju perumahan di Melaka khususnya melibatkan projek pembinaan baharu diwajibkan untuk membangunkan rumah kos rendah dan sederhana rendah di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dasar baharu itu diberi penekanan bagi memastikan golongan B40 tidak tercicir daripada menikmati perumahan yang selesa dan mampu dimiliki mereka.

"Sebelum ini, kita terlepas pandang...pembinaan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana rendah dalam setiap projek pembinaan di sesebuah kawasan tidak diberi perhatian, namun di bawah pentadbiran saya, dasar ini akan diberi penekanan.

"Bagaimanapun, pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah berkenaan akan dibina berdasarkan keperluan dan permintaan rakyat yang memerlukan di sesebuah kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Perumahan 'Better Bright Home' @ Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2023 Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Pengurus Besar TNB Melaka Khairizam Ibrahim, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata inisiatif itu bukan sahaja bertujuan membantu rakyat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka, malah menolong pemaju menangani kerugian khususnya dari aspek aliran tunai sekiranya rumah yang dibangunkan tidak berjaya dijual.

"Tiada sebarang kuota pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah ditetapkan seperti sebelum ini sekali gus tidak membebankan mereka," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga selaras dengan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan dan nasib rakyat yang memerlukan.

Selain itu katanya sebanyak 37 rumah di bawah Projek Perumahan 'Better Bright Home' @ Baiti Jannati TNB di Melaka bernilai lebih RM1.2 juta dibina sejak 2007 hingga tahun lepas.

"Saya mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada TNB kerana komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan membina rumah untuk membantu golongan asnaf memerlukan.

"Rumah baharu ini memberi sinar dan harapan kepada penerima meneruskan kehidupan dengan lebih baik terutama menjelang bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Ab Rauf menyerahkan rumah tiga bilik bernilai lebih RM65,000 kepada ibu tunggal Rohani Karim, 60, yang merupakan anak jati Kampung Lubok Redan.

Pembinaan rumah itu bermula Oktober tahun lepas dan siap sepenuhnya dua bulan kemudian.

-- BERNAMA