ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori tersepit selepas lori yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Padang Kerbau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital manakala rumah berkenaan tidak berpenghuni.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11.54 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Ayer Keroh digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati terdapat sebuah lori tiga tan terbabas dan melanggar sebuah rumah kosong.

“Terdapat seorang mangsa yang mana pemandu lori itu tersepit di bahagian tempat duduk sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat,” katanya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Ayer Keroh ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut.

Tambahnya, rumah jenis struktur kayu itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kerosakan dan kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.