KUANTAN: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap wanita warga China, baru-baru ini.

Mohd Sidek Saleh, 32, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah di bahagian jari tangan kanan wanita itu dengan menyerang, menggunakan kerusi lipat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lobi sebuah hotel di Jalan Sekilau di sini, sekitar pukul 6.20 petang pada 16 Dis lepas dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon jaminan ditawarkan kepada Mohd Sidek memandangkan anak guamnya itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) selain pernah mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terlibat dalam kemalangan pada 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes tertuduh adalah kesalahan serius dan tidak mustahil dia boleh melakukan kesalahan sama terhadap penumpang lain pada masa akan datang.

"Namun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah," kata Luqman Hakim.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin dan membenarkan syarat tambahan berkenaan selain menetapkan 5 Feb depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan pemandu e-hailing berkenaan selepas hadir membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 19 Dis lepas berhubung laporan polis yang dibuat warga China itu.

Mangsa yang berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa dipukul beberapa kali menggunakan kerusi lipat oleh seorang pemandu e-hailing sehingga mengalami kecederaan pada jari, tangan dan muka.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku semasa dia dan seorang rakan wanita menggunakan kenderaan e-hailing itu untuk pulang ke hotel dari sebuah lokasi pelancongan di sini.

-- BERNAMA