SUNGAI PETANI: Seorang penganggur dikenakan hukuman denda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini selepas didapati bersalah menghalang tugas polis pada 9 Disember lalu.

Majistret M. Kalaiarasi menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Mohammad Dzahir Abdullah, 25, mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis berpangkat sarjan dalam menjalankan tugas awamnya di kawasan jalan perkilangan Bakar Arang di sini pada 1.30 pagi, 9 Disember lalu.

Mohammad Dzahir didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kereta Proton Wira membuat pusingan U melarikan diri ketika pengadu menjalankan tugas 'snap check' di jalan berkenaan.

Pengadu mengarahkan tertuduh berhenti dengan menggunakan pembesar suara tetapi tidak diendahkan sebelum terpaksa dikejar sehingga ke Jambatan Pulau Pinang.

Kereta yang dipandu tertuduh telah tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di tengah jambatan itu dan tayar keretanya juga pecah akibat bergesel dengan kenderaan lain.

Semasa pengadu hendak membuat tangkapan, tertuduh melarikan diri dan terjun ke laut sebelum diselamatkan nelayan.

Selain itu tertuduh turut mengaku salah atas tuduhan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Bagi kes itu mahkamah menetapkan 14 Febuari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Preeya, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Firzana Ahmad Suhaimi.