Skip to main content

Malaysia

Pemandu lori didakwa empat pertuduhan bunuh

71743102937_courtgavel.jpg
Prosiding pendakwaan dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh berikutan Zulkarnain sedang menerima rawatan di hospital itu. - Gambar hiasan
Advertisement

TEMERLOH: Seorang pemandu lori didakwa hari ini atas empat pertuduhan membunuh empat individu dalam kemalangan pada 31 Ogos lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zulkarnain Md Noh, 52, kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Prosiding pendakwaan dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini berikutan Zulkarnain sedang menerima rawatan di hospital itu.

Berdasarkan kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Nazatullah Nazmi, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, Muhammad Armaan Nazeef Muhammad Nazatullah dan Seow Beng Wai.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira 10.30 malam, 31 Ogos lepas di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nuur Fakhizaa menetapkan 12 Nov ini bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Pada 1 Sept, empat individu maut selepas lori tangki muatan simen dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan berkata tiga mangsa yang menaiki Proton S70 ialah pasangan suami isteri Muhammad Nazatullah dan Nur Atiqah Sofiya serta anak lelaki mereka, manakala Seow Beng Wai merupakan penumpang sebuah Honda CR-V.

Beliau berkata anak Seow, Sebastian Seow Jhen, 18, yang memandu Honda CR-V, serta pemandu lori tangki berkenaan mengalami kecederaan parah dan dirawat di HoSHAS manakala pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain termasuk bas ekspres, Toyota Hilux, Toyota Alphard dan lima kereta lain mengalami kecederaan ringan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement