IPOH: Seorang lelaki maut apabila lori yang dipandunya dihempap batu ketika melakukan kerja kuari di sebuah kawasan tapak kuari di Keramat Pulai, Kampung Kepayang, di Simpang Pulai hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.18 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dan Gopeng bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata mangsa dikenali sebagai M. Sivakumar, 53, disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
"Sebuah lori membawa muatan batu kuari dihempap batu ketika melakukan kerja kuari. Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melakukan kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.22 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah dalam kenyataan berasingan memaklumkan mangsa merupakan pemandu lori sebuah syarikat yang dilantik untuk menjalankan kerja mengangkut batu dari kawasan kuari berkenaan.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa sedang memandu lori untuk mengangkut batu di kawasan tersebut.
"Semasa lori melalui kawasan berhampiran lereng bukit, seketul batu bersaiz besar dipercayai telah menggelongsor dari lereng berkenaan lalu menghempap bahagian hadapan lori sehingga menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu," katanya.
Muhammad Najib berkata hasil siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan polis turut bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam tindakan susulan berhubung kejadian tersebut.
-- BERNAMA