Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pemandu maut, penumpang cedera, kereta langgar pembahagi jalan di Slim River

Anggota bomba dan polis membantu mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit selepas melanggar pembahagi jalan di Slim River. Foto JBPM Perak.
Anggota bomba mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit selepas melanggar pembahagi jalan di Slim River. - Foto JBPM Perak
Advertisement

IPOH: Seorang pemandu maut manakala seorang penumpang cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di atas jambatan di Jalan Persekutuan Trolak Pekan, Slim River, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.08 pagi.

Menurutnya, selepas menerima makkumat, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen2 telah terbabas melanggar pembahagi jalan di atas jambatan.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa, seorang lelaki berusia 29 tahun yang memandu kereta dan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun berada di tempat duduk penumpang yang mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan 'size-up' seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota mengeluarkan pemandu yang masih berada di dalam kereta tersebut.

Katanya, mangsa kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sabarodzi berkata, mangsa yang cedera telah keluar dengan sendiri dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM.

Operasi yang melibatkan lima anggota bomba tamat sepenuhnya jam 1.08 pagi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement