PAPAR: Empat lelaki sempat menyelamatkan diri selepas van yang mereka naiki dirempuh kereta api dalam kejadian di Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, dekat sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian jam 6.05 petang itu, pemandu van berusia 42 tahun cedera ringan manakala tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta api dalam perjalanan dari Sembulan menuju ke Beaufort.

Menurutnya, ketika kejadian pemandu kereta api terbabit mendapati sebuah van jenis Perodua Rusa masuk dan berhenti di atas landasan kereta api.

"Pemandu kereta api telah membunyikan hon isyarat semasa menghampiri kawasan dan cuba menekan brek namun gagal berhenti dan seterusnya melanggar kenderaan terbabit.

"Pemandu kereta api hanya menyedari kenderaan itu dalam jarak 20 meter di hadapan dan menyebabkan rempuhan itu tidak dapat dielakkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati palang untuk menutup laluan jalan raya di landasan itu tidak berfungsi.

"Namun terdapat seorang penjaga palang berada di lokasi yang berdiri di bahagian kanan pondok lintasan kereta api di mana hanya dapat menahan kenderaan yang lalu dari satu lorong sahaja.

"Pemandu kenderaan Perodua Rusa pula mengatakan bahawa beliau tidak menyedari ada kereta api yang lalu di kawasan itu dan ketika kejadian dia tidak berhenti semasa menghampiri laluan kereta api kerana palang tidak diturunkan atau laluan tidak ditutup.

"Semasa pemandu lalu di landasan, enjin keretanya tiba-tiba mati dan menyebabkan ia tidak dapat bergerak sebelum dirempuh kereta api berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, penjaga palang telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan kecederaan dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini juga diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169," katanya. - Sinar Harian