Pemandu teksi di bawah Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) akan meneruskan kadar baharu tambang walaupun kabinet meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangguhkan kenaikan tersebut.

Pengerusinya Amran Jan berkata selagi tiada pekeliling daripada Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka akan meneruskan dengan harga baharu.

“Ia adalah satu yang relevan dan dapat membantu meningkatkan taraf hidup pemandu teksi. Kenaikkan bersesuaian dan kita pun sudah tunggu lama iaitu tujuh tahun. Sebelum ini ia ditangguhkan oleh kerana masalah ekonomi negara,” jelasnya ketika perhimpunan pemandu teksi di bawah badan itu di Petronas, Jalan Cochrane pagi tadi.

Beliau turut menyanggah pihak-pihak seperti ahli politik, badan bukan kerajaan dan juga orang awam yang tidak setuju dengan kenaikkan kadar tambang.

“Bagi kita, pandangan itu tidak selari dengan apa yang kita hadapi. Kita harus bayar sewa, bayar kos operasi, membaik pulih kenderaan dan kita harus tampung kos sara hidup harian juga.

“Banyak orang bersuara untuk jadi juara rakyat. Sebaliknya mereka harus prihatin kepada pemandu teksi berdaftar. Kita dapat kenaikkan sikit, orang cakap kita tidak prihatin kepada rakyat. ,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut berkata hampir 40 hingga 50 peratus pemandu teksi di bawah badan itu telah
menyelaras meter mereka kepada kadar baharu.

“Siapa nak tukar balik dan beri ganti rugi? Itu tidak termasuk beberapa jam yang harus ditunggu oleh pemandu teksi untuk mengemas kini dan kemudian ke Puspakom.

“Kita akan teruskan dengan harga baharu. Teksi yang belum berbuat demikian, kami akan suruh mereka teruskan untuk menyelaras meter kepada kadar baharu,” katanya.

Ditanya apa tindakan susulan jika SPAD harus akur dengan keputusan kabinet untuk tangguh kadar baharu, Amran berkata pihaknya mungkin akan mengadakan satu lagi perhimpunan bantahan.

“Kita mungkin akan mogok. Itu kita akan menentukan kemudian,” jelasnya.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain turut setuju dengan cadangan untuk meneruskan kadar baharu tambang teksi.

“Jangan lihat pendapatan teksi begitu mewah. Kita perlu menampung beberapa kos dan kita tidak dapat 100 peratus faedah daripada kenaikan ini.

“Kalau rakyat mahu perkhidmatan yang bagus, itu boleh. Tetapi kita mahu hak-hak kami dilindungi juga,” katanya kepada pemberita.

Teksi
Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain (kiri) dan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter Amran Jan (tengah) berkata kenaikkan kadar tambang harus untuk meningkat taraf hidup pemandu teksi. Gambar: Astro AWANI/Syafique Shuib


Sementara itu, beberapa pemandu teksi yang dijumpai terus berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang tegas.

“Kami sokong dengan kenaikan kadar ini, tetapi pihak berkuasa harus mengambil tindakan yang tegas untuk membantu industri teksi.

“Selain isu ini (kadar harga) kita ada masalah teksi sapu dan perkhidmatan Uber. Banyak lagi isu-isu lain yang kita harus lalui,” kata Aziz Lebai Milin yang merupakan Pengerusi Persatuan Teksi Bajet Rawang.

Seorang pemandu teksi yang ingin dikenali sebagai Poknik berkata kenaikkan kadar harga ini memang hak pemandu teksi.

“Kita sudah tunggu sejak 2009. Naiknya tak tinggi tetapi saya tetap bersyukur daripada tidak naik langsung.

“Selain itu, ia mengambil masa selama dua hari untuk saya menyelaras meter. Saya dapat tahu pada Khamis, hari Jumaat saya sudah mengemas kini meter. Selepas itu saya ke Puspakom. Saya akan teruskan dengan kadar baharu,” tambahnya.

SPAD pada Khamis, mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.