BATU PAHAT: Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan, Selasa lepas.
Nordin Ithnin, 61 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu sebuah van secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8 yang ketika itu sedang menggunakan jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong di sini, kira-kira 12.30 tengah hari 5 Mei lepas
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan diperintah melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung bermula dari tarikh pertuduhan selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Song Yan.
Media sebelum ini melaporkan seorang murid perempuan Tahun Dua maut akibat dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar SK Seri Maimon, Parit Sulong ketika berjalan kaki.
Siasatan awal mendapati van berkenaan sedang bergerak keluar dari kawasan sekolah melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima-Parit Sulong selepas selesai menghantar barang.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.
-- BERNAMA