ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Pontian Lama, dekat sini kira-kira jam 1.50 tengah hari Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, mangsa berusia 33 tahun maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Jelasnya, kemalangan membabitkan dua buah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah lori jenis Isuzu.

Katanya, mangsa yang memandu Toyota Vios berwarna hitam telah hilang kawalan dan berpusing semasa melalui selekoh di jalan tersebut sehingga masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta dipandu mangsa itu telah dirempuh oleh lori yang datang dari arah bertentangan. Sebuah lagi kereta Toyota Vios berwarna coklat tidak sempat brek lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.

"Mangsa yang merupakan seorang wanita warganegara tempatan disahkan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ibrahim berkata, dua mangsa lain terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut ini, boleh salurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Hafizuddin Hamdan di talian 018- 5779391 atau boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian