Pemandu warga Pakistan maut SUV rempuh tembok Plaza Tol Sungai Dua

Sebuah SUV dinaiki dua lelaki warga Pakistan melanggar tembok Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Dua, Butterworth, malam tadi, mengakibatkan seorang pemandu maut dan seorang penumpang cedera parah. - Foto JBPM Pulau Pinang
BUTTERWORTH: Seorang pemandu maut, manakala seorang penumpang cedera parah selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki dua lelaki warga Pakistan melanggar tembok Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Sungai Dua, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.43 malam dan tiba di lokasi kejadian 16 minit kemudian.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah SUV jenis Perodua Aruz yang disyaki terbabas sebelum merempuh tembok plaza tol itu menyebabkan dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.
Mangsa pertama berusia 42 tahun iaitu penumpang dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pemandu berjaya dikeluarkan pada jam 11.15 malam oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas kebombaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya
Operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas itu ditamatkan pada jam 12.07 tengah malam.

- Foto JBPM Pulau Pinang
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


