KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra menghargai dan menyambut baik usaha berterusan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pelbagai dasar pembangunan dan inisiatif strategik yang turut memberikan manfaat kepada negeri ini.
"Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, yang telah menyumbangkan kejayaan dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini," titah baginda.
Advertisement
Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15, di sini hari ini.
Baginda sukacita atas pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang telah siap dinaik taraf sepenuhnya.
"Beta juga menzahirkan harapan agar kerjasama pihak Persekutuan dan negeri diteruskan dengan pelaksanaan projek Kota Bharu Sentral melalui integrasi pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai hab transit moden yang bakal menjadi pemangkin ekonomi setempat," titah baginda.
Pada Sabtu lepas, Anwar merasmikan terminal baharu LTSIP, yang berpotensi diangkat sebagai hab serantau strategik termasuk bagi pasaran selatan Thailand.
LTSIP dilengkapi lebih 20 kaunter penerbangan, kemudahan parkir bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang.
Lapangan terbang itu dijangka mampu menampung hingga empat juta penumpang setahun berbanding kapasiti 1.5 juta sebelum ini.
Selain peningkatan kapasiti, terminal turut diperluas daripada 12,000 kepada 36,000 meter persegi dengan susun atur baharu yang memisahkan balai berlepas di tingkat atas dan ruang ketibaan di tingkat bawah bagi mengurangkan kesesakan.
Jumlah parkir pesawat (apron) juga ditambah kepada 11 berbanding lima unit sebelum ini, manakala ruang letak kenderaan menyediakan kira-kira 1,300 lot berbanding hanya 350 sebelum proses naik taraf dilaksanakan.
Kemudahan berkenaan dijangka memudahkan urusan penghantaran dan pengambilan penumpang, khususnya ketika musim puncak seperti Aidilfitri.
Selain itu, baginda turut melihat keadaan infrastruktur di Kelantan masih lagi perlu ditambah baik agar tidak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
"Oleh itu, beta amat berharap agar kerajaan negeri mengambil berat terhadap perancangan dan pelaksanaan infrastruktur di negeri ini dengan penglibatan langsung kerajaan Persekutuan.
"Pembangunan infrastruktur yang menyeluruh ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak perancangan pembangunan pada masa akan datang," titah baginda.
-- BERNAMA