Skip to main content

Malaysia

Pemansuhan AUKU tanpa pengganti boleh jejas punca kuasa penubuhan universiti, perjawatan, pentadbiran - MQA

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata pemahaman menyeluruh terhadap AUKU penting sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pemansuhan akta itu kerana implikasinya turut membabitkan keseluruhan sistem pengurusan dan kelangsungan IPTA. - Gambar/ MQA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persepsi bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) hanya berkaitan mahasiswa perlu diperbetulkan kerana hanya tujuh daripada 42 seksyen akta itu menyentuh hal ehwal pelajar, sebaliknya sebahagian besar peruntukan meliputi tadbir urus, pentadbiran, perjawatan dan pengurusan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata pemahaman menyeluruh terhadap AUKU penting sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pemansuhan akta itu kerana implikasinya turut membabitkan keseluruhan sistem pengurusan dan kelangsungan IPTA.

Beliau berkata, pemansuhan AUKU tanpa kerangka perundangan pengganti yang jelas boleh menimbulkan kekosongan dari segi punca kuasa penubuhan universiti, perjawatan, pengurusan serta pentadbiran institusi dan keadaan itu perlu dielakkan bagi memastikan operasi institusi terus berjalan dengan teratur.

Katanya, ketidakstabilan kepemimpinan dan tadbir urus IPTA akibat ketiadaan kerangka undang-undang yang jelas juga berpotensi menjejaskan kualiti pendidikan tinggi kerana universiti memerlukan sistem pentadbiran yang tersusun, akauntabiliti yang jelas dan kepemimpinan yang mempunyai bidang kuasa yang sah.

"Sekiranya kepemimpinan di IPT menjadi kacau-bilau kerana tiada punca kuasa jelas, seumpama sebuah negara yang tidak mempunyai undang-undang kerana apabila tiada peraturan yang menjadi asas, bagaimanakah kita mahu memastikan pengurusan, akauntabiliti dan kualiti terus terjamin?,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kesannya tidak harus dilihat dari sudut pentadbiran semata-mata kerana sebarang ketidakstabilan institusi akhirnya boleh memberi implikasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pengurusan akademik serta keyakinan masyarakat terhadap kelayakan yang dikeluarkan universiti.

Keadaan itu, katanya, juga boleh memberi kesan kepada ribuan mahasiswa sekiranya berlaku ketidakpastian terhadap status institusi dan punca kuasa yang menjadi asas kepada pengeluaran sijil serta kelayakan akademik.

"Sudah pasti ketika itu ribuan mahasiswa yang sedang berada dalam sistem pendidikan tinggi negara akan menjadi mangsa termasuk dari segi sijil ataupun kelayakan yang dikeluarkan universiti kerana punca kuasa universiti sudah dimansuhkan.

"Masyarakat Malaysia perlu memahami keseluruhan AUKU sebelum membuat kesimpulan bahawa akta itu hanya menyekat kebebasan mahasiswa kerana peruntukan berkaitan pelajar hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kerangka perundangan berkenaan,” katanya.

Beliau menggunakan analogi pokok bagi menggambarkan AUKU sebagai tunjang kepada struktur yang lebih besar dan berkata sekiranya terdapat peruntukan yang tidak lagi sesuai maka ia boleh ditambah baik atau dipinda tanpa semestinya memusnahkan keseluruhan kerangka perundangan.

"Kalau kita tidak suka dengan ranting atau cabang yang menyerabutkan mata, mengapa kita ingin mematikan pokok berkenaan, bukankah kita boleh memangkas ranting-ranting itu,” katanya.

Mohammd Shatar berkata, peruntukan mahasiswa dalam AUKU pun sudah melalui pindaan pada tahun 2023 yang memperkenalkan beberapa dimensi baharu pemerkasaan pelajar termasuk Seksyen 15A yang membolehkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar memungut wang atau menerima sumbangan serta Seksyen 16B berkaitan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

Pindaan itu, katanya, turut menyelaraskan tempoh MPP dengan tahun akademik melalui Seksyen 48(4) Jadual Pertama, membolehkan MPP menyenggara kumpulan wang atau akaun sendiri menerusi Seksyen 48(11), memperincikan peraturan kutipan wang melalui Seksyen 48(12A) serta memperluas pemakaian peruntukan MPP kepada badan pelajar lain menerusi Seksyen 49(2) Jadual Pertama.

"Perkembangan itu membuktikan peruntukan AUKU boleh ditambah baik mengikut perubahan landskap pendidikan tinggi.

"Sebarang keputusan untuk memansuhkannya perlu memastikan kerangka baharu gantian bukan sahaja memperluas kebebasan mahasiswa tetapi turut menjamin kestabilan kepemimpinan, tadbir urus, autonomi, akauntabiliti dan kualiti pendidikan tinggi negara," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa pengenalan sebarang undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.

AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Must Watch Video

Advertisement