NATIONAL
Pemansuhan BIPK: Kalau perlu potong elaun menteri, tak ada masalah - Azmin

MOHAMED AZMIN: Kalau perlu potong, tak ada masalah. Apa yang penting, kami harus melihat keperluan hari ini untuk menguruskan kewangan secara bertanggungjawab dan berhemah. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak menjadi masalah sekiranya elaun menteri dan ahli politik dipotong sebagai usaha membantu kerajaan berhadapan dengan cabaran ekonomi.
Beliau senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengeluarkan kenyataan untuk memotong elaun ahli politik berbanding elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).
“Kalau perlu potong, tak ada masalah. Apa yang penting, kami harus melihat keperluan hari ini untuk menguruskan kewangan secara bertanggungjawab dan berhemah.
“Kami juga perlu pastikan tiada berlakunya sebarang ketirisan, tiada kebocoran, tiada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Ini kerana pengalaman pahit yang kita alami sejak beberapa tahun ini memberikan kesan parah kepada ekonomi negara dan rakyat,” kata Mohamed Azmin kepada wartawan selepas membuat tinjauan di kawasan pergerakan tanah di Bukit Antarabangsa pada Sabtu.
Katanya lagi, kerajaan perlu memberikan fokus dalam membanteras rasuah dan amalan salah guna kuasa.
Pada Rabu lalu, Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan untuk memotong elaun ahli politik dan menteri, bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, isu pemansuhan BIPK tersebut akan terus dibincangkan secara dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada setiap Rabu.
“Jemaah Menteri sentiasa mengambil maklum tentang pendapat daripada rakyat dan kami selalu membincangkan dalam mesyuarat.
“Kami mengambil masa 4 hingga 5 jam setiap Rabu untuk membincangkan masalah ini.
“Kami akan terus membincangkan masalah ini dan satu keputusan akan diambil pada mesyuarat tersebut,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami