Perangkap nyamuk solar yang dipasang di dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dikembangkan ke kawasan lain yang merekodkan kes denggi tertinggi sekiranya ia menunjukkan hasil positif dalam mengekang pembiakan nyamuk aedes.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata keberkesanan perangkap nyamuk solar itu masih dipantau sejak ia dipasang di PPR Kampung Tehel, Melaka dan Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada hujung April lepas.

"Hasilnya boleh dilihat dalam tempoh beberapa minggu. Jika ia berkesan (mengurangkan pembiakan nyamuk aedes), kita rancang untuk pasang di PPR dan rumah kos rendah lain di seluruh negara secara berperingkat.

"Berapa banyak lagi perangkap nyamuk solar akan dipasang masih dalam perancangan namun keutamaannya adalah di kawasan hotspot denggi," katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan bersama pemimpin komuniti dan penduduk pada Majlis Perhimpunan Perdana Rukun Tetangga Selangor, di sini hari ini.

Tambah Noh, pihaknya juga akan memohon peruntukan khas untuk memasang perangkap nyamuk solar berkenaan yang berharga sekitar RM3,000 hingga RM5,000 setiap unit mengikut keluasan kawasan yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, Noh meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut garis panduan penanaman jenis pokok di kawasan awam yang dikeluarkan KPKT bagi mengelakkan pertumbuhannya kelak membawa kemudaratan kepada rakyat.

Beliau berkata walaupun penanaman pokok berniat untuk menghijaukan bumi, namun PBT juga perlu sentiasa melakukan pemeriksaan berkala terhadap jenis pokok terutamanya pokok-pokok besar yang berpotensi tumbang atau dahan patah sekiranya hujan lebat atau bencana alam.

"KPKT sudah edarkan garis panduan dalam hal ini namun jika PBT tidak patuhi, kita tidak boleh ambil tindakan cuma harus diingat, apabila berlaku kemudaratan pada rakyat, ia akan memberi impak yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian dahan pokok besar patah dan pokok tumbang di kawasan awam sehingga mengorbankan nyawa.

-- BERNAMA