Perjumpaan Ahli-ahli Parlimen pembangkang bukan sahaja dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali namun ada juga yang berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, sudah menjadi kelaziman bagi Ahli Parlimen bertemu menteri untuk menyelesaikan banyak perkara mengenai kawasan masing-masing.

“Saya tidak tahu siapa yang hadir pada malam itu di rumah Azmin tetapi kalau ada pertemuan, ia perkara biasa untuk membincangkan kawasan masing-masing.

“Mereka jumpa mana-mana menteri dan bukan sahaja jumpa Azmin. Ada Ahli Parlimen jumpa Port Dickson (Anwar) dan ada jumpa Langkawi (Dr Mahathir).

“Saya pun jumpa Langkawi dan Port Dickson, tidak ada masalah. Saya bincang mengenai projek. Hal politik mesti bincang melalui presiden parti, saya tak campur,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Pada Isnin, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan BN di kediamannya di Putrajaya.

Bagaimanapun, Azmin berkata, pertemuan itu hanya mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka dalam pertemuan berkenaan.

Presiden PKR, Anwar bagaimanapun mahu timbalannya itu memberi penjelasan mengenai pertemuan berkenaan yang telah menimbulkan pelbagai persoalan daripada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, kata Shahidan, semua pihak tidak perlu buruk sangka dalam apa sahaja pertemuan atau isu yang melibatkan pertemuan berkenaan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau mengetuai pertemuan beberapa Ahli Parlimen dengan Mohamed Azmin.

Beliau berkata tuduhan tersebut tidak benar sama sekali selain rela disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO.