Ringkasan AI
- Pembangunan pelancongan dan pemodenan Ipoh perlu mengekalkan identiti tempatan serta memastikan masyarakat tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
- Bangunan warisan di Ipoh disaran diberi nafas baharu sebagai galeri seni, ruang persembahan, premis perniagaan dan ruang anak muda berkarya.
- Ipoh Festival 2026 berlangsung selama empat minggu, menampilkan pelbagai acara seni, budaya dan komuniti di seluruh bandar raya.
IPOH: Pembangunan sektor pelancongan dan pemodenan bandar raya Ipoh perlu dilaksanakan dengan mengekalkan identiti serta keaslian setempat, selain memastikan masyarakat tempatan tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keunikan Ipoh terletak pada warisan budaya, bangunan lama serta komuniti setempat yang perlu terus dipelihara, agar kemajuan ekonomi dan peningkatan kehadiran pelancong bergerak seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat.
“Ketika kita membayangkan wajah baru Ipoh, jangan lupakan pemilik kedai kopi yang berniaga turun-temurun, peniaga kecil yang mencari rezeki untuk keluarga serta anak muda yang berusaha membina nama melalui karya dan bakat mereka. Merekalah sebahagian daripada jiwa Ipoh.
“Apabila ramai pelancong datang, kita mahu kedai mereka turut dikunjungi. Kita mahu usahawan tempatan mempunyai peluang. Sebagaimana yang kita gariskan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030, kemajuan ekonomi harus berjalan seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ipoh Festival 2026 di Jalan Bandar Timah, di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee.
Saarani berkata sebahagian besar bangunan warisan di bandar raya ini juga perlu diberikan nafas baharu dan dimanfaatkan sebagai galeri seni, ruang persembahan, premis perniagaan serta ruang untuk anak muda berkarya dan masyarakat berkumpul.
“Lihatlah bangunan lama di sekeliling kita, setiap satunya menyimpan kisah perjalanan ekonomi dan perubahan zaman yang telah dilalui oleh bandar ini. Alangkah ruginya jika ia hanya menjadi latar belakang untuk kita bergambar, sedangkan ruang di dalamnya tidak lagi mempunyai kehidupan,” katanya.
Dalam aspek seni dan kreativiti, beliau berkata pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO 2023, perlu dimanfaatkan bagi membuka peluang kepada bakat muda membina kerjaya dalam industri kreatif tanpa perlu berhijrah ke tempat lain.
“Untuk mencapai hasrat tersebut, kita memerlukan sebuah ekosistem yang mempertemukan bakat dengan peluang, pengkarya dengan khalayak, serta industri dengan pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Ipoh bakal bertukar menjadi pentas budaya berskala besar, apabila Ipoh Festival 2026 yang julung-julung kali dianjurkan berlangsung di seluruh bandar raya ini dari malam tadi hingga 19 Dis ini, menampilkan persembahan, pameran seni, kraf tradisional dan aktiviti komuniti.
Berteraskan tema “Mengubah Seluruh Bandar Menjadi Sebuah Pentas”, festival selama empat minggu itu akan mengubah kafe, galeri, bangunan warisan dan ruang awam menjadi lokasi pelbagai pengalaman kebudayaan dan kesenian, dengan penekanan khusus terhadap usaha menghidupkan semula Pekan Lama Ipoh.
Antara acara kemuncak ialah persembahan teater muzikal di beberapa kafe terpilih, tayangan filem terbuka di Padang Ipoh, paparan kraf tradisional di Tin Alley dan pameran hasil karya tempatan, selain Artisan Rhythm Market di Jalan Bandar Timah dan program Wayang dan Makan di Padang anjuran Greenery Market.
-- BERNAMA