Ringkasan AI
- Proses penamaan calon PRN Sarawak ke-13 berlangsung hari ini bagi 82 kerusi DUN, menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari.
- Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding di semua kerusi DUN, manakala DAP mengesahkan bertanding di 14 kerusi sebagai satu-satunya parti Pakatan Harapan.
- Seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, termasuk pengundi biasa, anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing.
KUCHING: Barisan calon yang bersaing merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan diketahui apabila proses penamaan calon berlangsung hari ini.
Proses penyerahan kertas penamaan calon bakal diadakan selama sejam bermula 9 hingga 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding.
Sebanyak 82 pusat penamaan calon akan dibuka bagi melancarkan proses berkenaan di seluruh negeri.
Pengumuman itu menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari menjelang hari pengundian pada 12 Dis ini.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, dijadualkan hadir di Dewan Masyarakat Gedong bagi menyerahkan kertas penamaan calon.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang akan bertanding di kerusi DUN Kota Sentosa turut dijangka berada di Perpustakaan Awam Kota Sentosa, yang merupakan pusat penamaan calon kawasan itu.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Santubong dijadualkan turun padang untuk memberikan sokongan kepada calon GPS di kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen masing-masing.
GPS sebelum ini mengesahkan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN dalam misi mempertahankan mandat besar yang dimenangi pada PRN ke-12.
Merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), gabungan itu mempertaruhkan kombinasi penyandang dengan 11 muka baharu.
DAP pula mengesahkan akan memburu 14 kerusi DUN setakat Jumaat, sekali gus menjadikannya satu-satunya komponen Pakatan Harapan (PH) serta parti politik berpangkalan di Semenanjung yang menyertai PRN Sarawak kali ini.
Selain GPS dan DAP, landskap saingan turut dijangka diwarnai penyertaan parti tempatan lain antaranya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain kemungkinan kemunculan calon bebas di beberapa kawasan.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis serta pasangan.
Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca di Sarawak bagi Sabtu ini dijangka hujan di beberapa tempat pada sebelah pagi.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.
-- BERNAMA