Ringkasan AI
- Pakar menegaskan usaha menangani inflasi perubatan perlu fokus kepada pengurangan kos rawatan, bukan hanya memperkenalkan insurans premium rendah seperti MediAsas.
- MediAsas dijadual dilancarkan Januari 2027 dengan dua pelan dan had perlindungan tahunan antara RM100,000 hingga RM300,000.
- Pembaharuan RESET kerajaan turut merangkumi penyeragaman pengebilan hospital, ketelusan harga dan pendigitalan rekod perubatan untuk mengekang peningkatan kos rawatan.
KUALA LUMPUR: Usaha menangani inflasi perubatan negara perlu tertumpu kepada pengurangan kos rawatan kesihatan, bukan sekadar memperkenalkan produk insurans perubatan dengan premium lebih rendah seperti MediAsas.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, kemampuan rakyat membeli insurans tidak semestinya menjamin kemampuan mereka mendapatkan rawatan atau menikmati perlindungan kewangan yang mencukupi.
“Mampu membeli insurans tidak bermakna mampu mendapatkan rawatan.
“Kalau kos rawatan terus meningkat, premium MediAsas itu juga akan meningkat,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Menurutnya, kebergantungan MediAsas kepada pengendali insurans dan takaful swasta menyebabkan pelan berkenaan masih terdedah kepada kesan peningkatan kos perubatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Angsana Health, Dr Khor Swee Kheng berkata, premium insurans dan sumbangan takaful hanyalah mekanisme untuk membiayai kos perubatan, bukannya penyelesaian kepada peningkatan kos itu sendiri.
"Kita haruslah memikirkan cara untuk mengurangkan kos perubatan seperti pelaksanaan perolehan aset perubatan secara pukal dan strategik seperti yang dilaksanakan oleh ProtectHealth. Kedua, perolehan berasaskan nilai. Ketiga, menghapuskan pembaziran sumber,” ujarnya.
MediAsas yang dijadualkan dilancarkan pada Januari 2027 akan ditawarkan menerusi dua pilihan pelan, iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, dengan cadangan had perlindungan tahunan antara RM100,000 dan RM300,000.
Meskipun menawarkan premium lebih mampu milik, pelan berkenaan turut melibatkan perkongsian kos, termasuk bayaran deduktibel, yang memerlukan pemegang polisi menanggung sebahagian daripada kos rawatan.
MediAsas merupakan sebahagian daripada kerangka RESET kerajaan yang turut merangkumi pembaharuan lain bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta, termasuk penyeragaman pengebilan hospital, peningkatan ketelusan harga dan pendigitalan rekod perubatan.
Pembaharuan tersebut penting bagi memastikan usaha memperluas akses kepada perlindungan insurans turut disertai langkah mengekang peningkatan kos rawatan kesihatan secara mampan.
Dialog Poket Rakyat: MediAsas | Mampukah Bendung Kos Kesihatan Yang Meningkat?